Thursday, December 9, 2010
Kecerdikan : Di Manakah Letaknya?
Sabda Nabi s.a.w:
"Tidak sempurna kebaikan budi seseorang sebelum sempurna akalnya. Ketika itu barulah sempurna imannya. Ketika itu juga ia mampu mentaati Allah dan melawan godaan iblis dan syaitan." (Riwayat Ibnu Mahbar dari 'Amr bin Syu'ib)
Ovum-Ovum
Secara biologinya, proses kejadian manusia tiada bezanya dengan binatang. Benih sperma dari air mani bergerak untuk mensenyawakan ovum. Dari banyak-banyak sperma itu, hanya satu sahaja yang akan berjaya menembusi ovum dan mensenyawakannya (sperma itulah anda).
Dari situ terbentuklah satu sel baru yang akan membahagi kepada dua, empat dan seterusnya sehiggalah menjadi gumpalan sel yang dinamakan embrio. Dari segumpal darah ini terbentuk pula daging dan seterusnya tulang. Kemudian tulang itu dibalut pula dengan daging sebelum terjadinya makhluk bernama manusia.
Namun, di sebalik dijadikan dari air mani yang hina, Allah menganugerahkan manusia dengan akal fikiran, justeru mengangkat manusia di kedudukan yang mulia. Namun begitu, fakta ini hanyalah benar jika akal tersebut digunakan untuk mencari keimanan, menolong agama Allah dan membentuk akhlak yang mulia.
Bagi manusia yang gagal menggunakan akal untuk merenung ciptaan Tuhan dan seterusnya mengabdikan diri kepada Allah, sesungguhnya mereka lebih hina daripada binatang. Logiknya kerana binatang selaku makhluk Allah yang tidak mempunyai akal tidak berpeluang untuk berfikir dan memilih jalan, tidak seperti mana manusia yang mempunyai pilihan untuk memilih jalan kebaikan dengan menggunakan akal.
Firman Allah:
"Dan sesungguhnya Kami isikan dalam neraka jahanam itu sebahagian dari golongan jin dan manusia. Mereka terdiri dari golongan yang mempunyai hati tetapi tidak mahu menghayati ayat-ayat Allah. Mereka mempunyai mata tetapi tidak mahu melihat tanda-tanda kekuasaan Allah. Mereka mempunyai telinga tetapi tidak mahu mendengar ayat dan nasihat Allah. Mereka tidak ubah seperti binatang ternakan, bahkan lebih sesat lagi. Merekalah orang yang lalai." (Surah al-A'raf:179)
Kecerdikan - Adakah Diukur Dengan IQ?
Dalam islam, kecerdikan tidak di ukur dengan dengan kelulusan yang dimiliki atau keputusan ujian IQ yang diperolehi. Jika itu ukurannya, maka mengapa masih ada orang yang bijak pandai tetapi terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan? Tetapi Islam mendefinasikan kecerdikan seseorang dari segi sejauh mana dia berusaha menyelamatkan diri dari kerosakan hidup di dunia, justeru beroleh kebahagian di akhirat.
Sabda Rasulullah:
"Orang yang paling cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati mati." (Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Abidunya.)
Dalam sabda di atas Nabi tidak menyatakan orang yang cerdik adalah orang yang kaya, ataupun berpangkat besar, mempunyai banyak ijazah tetapi sebaliknya dengan perkataan yang mudah; iaitu mereka yang selalu mengingati mati.
Kenapa?
Jawapannya mudah.
Orang yang selalu mengingat mati tahu sesudah kematiannya dia akan melalui alam lain yang semestinya berbeza dengan apa yang dilaluinya di dunia ini. Jika di dunia dia disanjung dan dihormati kenalan-kenalan, kaya raya dan mampu memiliki apa yang dihajatinya, tetapi di alam itu semuanya itu sudah tidak berguna lagi.
Apa yang dimilikinya di dunia tidak dapat menolongnya ketika berhadapan dengan malaikat-malaikat yang sedia menyoalnya atas apa yang dilakukan di dunia. Yang dibawanya hanyalah amalan-amalan mulia yang dilakukan sepanjang perjalanan hidupnya di dunia.
Hanya selepas beberapa langkah ahli keluarganya pulang dari perkuburan, malaikat-malaikat mula datang untuk menjalankan perintah Allah. Jika amalannya baik, maka terlepaslah ia dari seksaan dahsyat kubur tetapi jika dia gagal menggunakan peluang hidup di dunia untuk mentaati Allah, maka alam kubur akan menjadi permulaan kepada seksaan.
Ya, permulaan kerana di neraka nanti banyak lagi pembalasan yang akan diterimanya.
Jadi orang yang selalu mengingati mati akan sentiasa muhasabah dengan apa yang dilakukannya dan berusaha untuk mengelakkan diri dari melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah. Dia akan sentiasa melakukan kebaikan kerana dia tahu apa yang dilakukannya akan dibalas kelak oleh Allah s.w.t.
Begitulah rationalnya hadis tersebut. Sesungguhnya, mengingati mati adalah satu motivasi.
Melakukan apa yang diperintah Allah lantaran selalu mengingati mati bukan sahaja dianggap cerdik oleh Nabi s.a.w tetapi juga menambahkan akal.
Sabda Nabi kepada Abu Darda:
"Tambahlah akalmu, nescaya hampirlah kamu kepada Allah." Abu Darda' bertanya, "Demi ibu dan bapaku, bagaimana caranya aku mendapatnya?" Jawab Nabi s.a.w, "Jauhilah larangan-larangan Allah dan tunaikanlah kewajiban-kewajiban sepertimana yang difardhukan-Nya, nescaya kamu akan menjadi orang yang berakal." (Riwayat At-Tirmizi)
Jadi, gunakanlah akal semaksimum yang mungkin dalam usaha mencapai bukan sahaja kebahagiaan tetapi juga keselamatan di dunia dan akhirat. Keselamatan di dunia bermakna ketenangan jiwa, kebahagian dan redha dengan apa yang dilaluinya dan keselamatan akhirat ialah terlepas dari seksaan api neraka, dapat melalui titian sirat dengan selamat serta dapat merasai nikmat syurga.
Tetapi harus diingat penggunaan akal perlu dibimbing oleh agama. Penggunaan akal sahaja tanpa bimbingan al-Quran dan hadis boleh sahaja menyesatkan seseorang. Lihat sahaja Albert Eistein, orang yang paling bijak di dunia dan Stephen Hawking, manusia cacat yang dikatakan manusia paling bijak selepas Eistein, kedua-duanya menolak untuk bertuhan (atheist) walaupun pernah mengaku akan kewujudan Tuhan melalui kajian sains yang dijalankan mereka.
Mungkin kerana angkuh akan kehebatan akal mereka dalam mempelopori bidang sains.
Tetapi jadilah seperti penceramah terkenal US, Sheikh Yusuf Estate dan Prof Dr. Muhammad Al-Mahdi yang pada usia muda mereka merupakan aithest tetapi memeluk islam setelah melakukan kajian yang terperinci dan melihat kekuasaan Allah melalui Al-Quran. Mereka ini adalah golongan-golongan yang telah memanfaatkan sepenuhnya penggunaan akal fikiran.
Sekadar renungan untuk diri sendiri dan anda semua.
Tuesday, September 21, 2010
what can i do...
What can I do...?
Everyday,
The rumbling noise of tanks
Crushing cars are heard,
Everyday,
Exploding machine guns
Echo in the air,
Everyday,
Mountains of fire burns down
Our town...
What can I do...?
Each day,
The screams of mothers could be heard,
Each day,
The crying babies cry frantically,
Each day,
Men fight intensively...
What can I do ?
Each time an explosion occurs,
Bodies fall,
Each time a cry of freedom is heard,
Souls are lost,
Each time a mother cries,
A loves one is gone...
Anger grows...
What can I do ?
Break a sweat,
Shead a tear,
Lose my blood,
Sacrifice my soul ?
YES !
Friday, August 13, 2010
Mentari Di Hujung Jalan
Hatiku kembali tersentuh,
Membisik untuk pulang ke sana,
Di bayu pergunungan itu,
Di laman kedamaian kita.
Biarpun ku jauh di sini,
Namun tak pernah lupakanmu
Itulah sebagai tandanya,
Di dasar sanubari ini,
Hanya engkau yang amat ku sayang.
Andai kau dengar lagu ini,
Walau di mana dikau berada,
Yang hidup atau yang telah tiada,
Mengertilah wahai saudaraku,
Dikaulah yang amat ku rindu,
Yang ku sayang buat selamanya.
Tapi apalah daya diriku,
Tak terucap lagi di bibir,
Walau air mata mengalir,
Ku tabahkan demi mereka,
Kerana ku tahu ku kan pulang jua.
Sebuah lagu yang sering terngiang-ngiang di telingaku. Aku rindukan kekasih Allah. Aku memejam mata dan menikmati iramanya sambil ditiup angin bayu di kaki Gunung Fuji. Dari jauh gunung ini seperti 'aiskrim berperisa vanilla' . Bunga-bunga Sakura mengembang indah di mata.
'Subhanallah' , betapa indahnya ciptaan Ilahi ini. Ingin aku ungkapkan namun semuanya bagaikan mimpi. Air mataku bergelinangan apabila teringat masa lalu. Sukarnya untuk aku sampai ke sini.
" Nisah, kenapa awak macam ni? Cikgu tak faham dengan sikap awak ni. " kata Cikgu Maimunah kepadaku.
Aku tertunduk. Diam.
" Ini bukannya Nisah yang saya kenal, kenapa awak berubah? Cikgu dapat banyak 'komen' daripada guru yang mengajar awak bahawa awak selalu tidak buat kerja rumah, tertidur dan kadang-kadang ponteng kelas. Kenapa ni? " tanya Cikgu Maimunah bertalu-talu.
" Apa kau kisah? Kau tu hanya guru aku bukannya mak aku. Diamlah kau! " bentakku.
Aku lantas meluru keluar dari bilik guru tersebut. Semua guru melihat senario biasa di sekolah ini tetapi kali ini berbeza. Bentakan daripada pelajar yang dahulunya pendiam, riang dan cemerlang? Mustahil tetapi ini adalah kenyataan.
Agama yang menjadi asas kini telah hancur musnah. Dunia seolah-olah kiamat bagiku. Tiada keadilan, tiada istilah kemanusiaan dan tiada erti kasih dalam diriku. Aku menjadi liar.
" Kenapa ini terjadi kepadaku? Dunia tidak adil! Atau patutkah aku katakan Tuhan tidak adil! "
Ayah pergi meninggalkan aku dan ibu bersama air mata kami. Aku berharap dia pergi menghadap Ilahi tetapi dia pergi bersama wanita lain. Memalukan keluarga. Kami menjadi cemuhan dan cacian masyarakat setempat malah kawan-kawan sekelas. Ibu berpura-pura menjadi tabah, tersenyum setiap masa.
Siang malam bekerja untuk menyara kami tiga adik-beradik. Siangnya menjaga anak jiran dan malamnya pula membuat kuih untuk dihantar ke kedai Mak Imah. Namun semua itu masih lagi tidak cukup untuk menampung hidup kami. Aku tahu dan adik-adikku tahu, ibu tersenyum namun apabila kami tidur ibu akan menangis mengenang nasib.
" Sungguh tidak adil bukan? "
Aku terus menjadi liar. Daripada menjadi orang baik yang dicemuh tanpa kesalahan, lebih baik menjadi liar yang memang melakukan kesalahan. Rokok dan arak menjadi teman karibku. Waktu malam aku luangkan di bawah jambatan nun di hujung kampung. Melepak dengan kawan-kawan sambil minum-minum dan ini telah menjadi rutin harianku. Ibu cuma mampu melihat dan terdiam kerana dia sudah tidak terdaya. Dan buku? Buku menjadi musuh utamaku. Buat apa belajar? Baik 'enjoy' , bak kata Minah usia masih muda.
Suatu hari, aku pulang seperti biasa berjalan kaki dari sekolah terus ke rumah. Tetapi hari itu berbeza, aku terasa ingin menggunakan jalan yang lain daripada yang biasa. Jalan yang dahulunya selalu dilalui oleh aku dan ayah sewaktu pergi menangkap ikan. Jalan yang penuh becak dikelilingi hijau rumput. Aku terhenti seketika dan memejam mata. Terasa seolah-olah angin membisikkan sesuatu namun tidak dapat aku tafsirkan. Air mata bergenang tanpa sengaja. Aku hairan dan pelik.
" Kenapa? "
Tiba-tiba seseorang menghulurkan sapu tangan kepadaku. Aku tersentak melihat wajah seseorang yang tidak pernah aku lihat. Agaknya orang baru di sini.
" Adik 'ok' ke? Menangislah, jangan di simpan. " katanya sambil tersenyum.
Dia memperkenalkan dirinya sebagai Kak Adzni. Badannya kurus dan tinggi, matanya bulat berwarna 'hazel', bulu mata melentik dan kulitnya putih melepak. Senyumannya mampu menenangkan jiwa yang gundah. Tudung yang dipakai dillit kemas, sangat menawan hati sesiapa sahaja yang melihatnya. Suaranya yang lunak membuatkan tangisanku semakin deras.
***
" Assalamualaikum kepada semua adik-adik yang hadir hari ini. Terima kasih kerana sudi datang ke program yang buat julung kalinya diadakan di sini. Program ini dinamakan 'SRIKANDI' khas untuk kaum Hawa. Sebuah program islamik untuk menjadi santapan menarik adik-adik. " kata alu-aluan daripada Kak Adzni semasa pertama kalinya aku menjejakkan kaki ke program islamik setelah sekian lama. Itupun kerana didesak oleh Atikah, kawan baikku sejak kecil.
Kami duduk di dalam satu 'halaqah' , membentuk satu bulatan besar. Memperkenalkan nama seorang demi seorang. Hal ini bertujuan untuk mengeratkan 'ukhuwah' sesama kami. Salah satu perkara yang masih segar di ingatanku ialah apabila Kak Nira memberi pengisian mengenai hakikat dan realiti di dunia.
" Dunia sememangnya indah, cantik dan menawan hati kaum Hawa dan kaum Adam. Kita tahu bahawa dunia ini bersifat sementara namun kita kebanyakannya tidak mahu menerima hakikat tersebut. Maka datanglah pelbagai masalah yang melanda. Iman menjadi ukuran bagi Allah. Sebagaimana janjiNya iaitu ‘sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa akan masuk ke dalam taman-taman yang dibawahnya mengalir sungai-sungai' . Apabila ditimpa musibah, kita seharusnya redha dan sabar. Sebagai contoh, apabila kehilangan orang yang tersayang, kita meraung menangis dan menyalahkan siapa? Kita menyalahkan Tuhan. Ada yang mengatakan bahawa Tuhan itu tidak adil! Nauzubillah. Adik-adik, Allah mengatakan dalam Al-Quran iaitu surah An-Nisa' ayat 28 bahawa manusia diciptakan lemah dan janji Yang Maha Esa ialah ‘sesungguhnya Aku tidak akan menguji hambaku melebihi kemampuan mereka' . Jadi di sini jelas bahawa setiap kejadian atau musibah yang berlaku sebenarnya ujian dari Allah dan Dia yakin bahawa adik-adik mampu menerima ujian itu kerana Allah menyayangi adik-adik. "
Ucapan itu menusuk ke kalbuku lalu aku bingkas bangun dan keluar dari bilik serbaguna itu. Air mataku bercucuran.
" Ya Allah! aku tidak mengetahui sesungguhnya Engkau yakin padaku dan Engkau menyayangiku. Tetapi masih adakah ruang keampunan untukku? "
Sekujur badan memegang erat bahuku dan memeluk bahuku.
" Nisah nak tahu tak, air mata keinsafan mampu memadamkan api neraka yang menyala-nyala." kata Kak Adzni yang sedar akan keadaanku ini.
" Tapi kak, Nisah dah banyak buat dosa! Nisah jijik, penuh dengan najis syaitan Laknatullah. Tidak mungkin Allah mengampuni Nisah kak. " kataku teresak-esak.
Kak Adzni memberi isyarat agar aku duduk dan bertenang. Aku hanya akur akan permintaan tersebut.
" Dengar Nisah, di dalam surat cinta Allah kepada kita iaitu Al-Quran ada mengatakan iaitu ‘Hai Bani Adam, biarpun dosa engkau setinggi gunung, walau dosa engkau mencecah ke langit, Aku tetap mengampunkan engkau melainkan engkau menyekutukan aku. ' Nah Nisah ayat ini mengatakan bahawa Allah tetap menerima taubat kita. Lepas ni, Nisah bolehlah taubat nasuha ya? " katanya sambil tersenyum
" Insyaallah, akak akan cuba tolong apa yang mampu. " pujuk Kak Adzni lagi.
***
Aku berdiri di jendela sambil mengenang nasib keluargaku yang serba kekurangan. Ibuku, aku lihat dia membanting tulang siang dan malam.
" Namun adakah aku telah menyumbangkan apa yang mampu? "
Soalan ini berlegar dalam fikiranku. Balik dari sekolah, ibu menungguku di muka pintu dan aku terus memegang erat tangan tuanya yang keras seolah-olah menceritakan betapa perit hidup yang pernah dilaluinya. Bersalaman dan meminta ampun daripadanya. Dia tersenyum lalu aku masuk ke dalam bilik.
Selesai menunaikan solat Zohor, aku terus menolong ibuku menjaga budak-budak dan kadang-kadang aku pergi dari pintu ke pintu untuk menjual kuih. Aku gunakan masaku sebaik mungkin kerana Imam Syahidul Hassan Al-Bana pernah mengatakan bahawa masa itu usia kita.
Sebelah malam pula, aku habiskan masa untuk membaca "Tasmi' Al-Quran" , doa aku panjatkan agar taubatku diterima, ibuku dicucuri rahmat, keluargaku dilindungi dan agar aku kekal dalam golongan yang sedikit iaitu golongan yang bersyukur. Sepertiga malam pula aku gunakan untuk 'qiamulail' , bersolat 'tahajjud' dan solat taubat. Selesai semua itu aku akan mengulangkaji pelajaran terutamanya Fizik dan Kimia kerana aku lemah dalam mata pelajaran tersebut. Hujung minggu pula aku menghadiri usrah dan naqibahku ialah Kak Nira.
Hatiku berbunga-bunga dan hidup terasa sempurna walaupun serba kekurangan. Ilmu agama aku dalami agar memantapkan iman yang dahulunya pernah goyah lantaran hasutan Syaitan Al-mau'un.
" Namun tidak semuanya bahagia, bukan? "
***
Suasana sekolah sunyi sehinggakan bunyi tapak kasut mencecah bumi kedengaran begitu jelas. Hal ini kerana kami menduduki percubaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM) . Aku duduk di atas bangku sambil memikirkan jawapan bagi soalan Matematik Tambahan. Tetapi hatiku berdebar-debar seolah-olah ingin menyampaikan sesuatu yang buruk bakal berlaku.
Tiba-tiba, Cikgu Maimunah datang mengetuk pintu kelas dan membisikkan sesuatu kepada pengawas peperiksaan.
" Nisah, awak kemaskan barang dan ikut cikgu ya? Sesuatu telah berlaku kepada keluarga awak. " katanya seolah-olah menutupi perkara sebenar.
Keluar sahaja dari kelasku, Cikgu Maimunah terhenti tersenyum dan hanya membisu sepanjang perjalanan kami ke bilik guru.
" Harap awak tabahkan hati Nisah. Ibu awak...dia..." kata Cikgu Maimunah sambil menahan sebak. Aku dapat menjangkakan sesuatu, air mata terkumpul seperti ingin mencurahkan segala-galanya.
" Kenapa dengan ibu saya cikgu? Cakaplah cikgu, cepat. "
" Dia...dia...sudah..tiada." katanya dengan suara yang perlahan, satu persatu tetapi amat jelas di telingaku. Kakiku menggeletar, dunia bagaikan berpusing. Namun aku tabahkan diri dan bersama Cikgu Maimunah aku pulang menuju ke rumah.
Di perkarangan rumah, ramai penduduk kampung berkumpul. Alunan 'yasiin' dapat aku dengari. Bunyinya yang hiba memilukan hati pendengar apatah lagi bagiku. Aku lihat sekujur badan yang ditutupi dengan kain batik kegemarannya.
Katanya, " Ini yang akan menutupiku ketika menghembuskan nafas terakhir. "
Wajahnya pucat kebiru-biruan. Ketara hanya jasad yang tinggal dan rohnya telah pergi menghadap Ilahi. Hatiku sebak, namun aku tabahkan hati kerana aku teringat kata-kata ustaz bahawa roh masih berlegar-legar di sekitar rumah.
Aku menyalami tangannya buat kali terakhir, memeluk erat tubuhnya yang dahulu suam menenangkan hati bergelora tetapi kini sejuk dan dingin. Ingin aku lihat ibu kembali berkata-kata namun itu hanyalah sia-sia. Adik-adikku meratapi pemergian ibu yang tercinta. Tanganku mencapai senaskah 'yasiin' dan membacanya untuk ibu yang tersayang. Air mata mengiringi tiap ayat.
Ibu bergenang air mataku,
Terbayang wajahmu yang redup sayu,
Kudusnya kasih yang engkau hamparkan,
Bagaikan laut yang tak bertepian.
Biarpun kepahitan telah engkau rasakan,
Tak pula kau merasa jemu,
Mengasuh dan mendidik kami semua anakmu,
Dari kecil hingga dewasa.
Hidupmu kau korbankan,
Biarpun dirimu yang telah terkorban,
Tak dapat kubalasi akan semua ini,
Semoga Tuhan memberkati kehidupanmu ibu.
Ibu kau ampunilah dosaku,
Andainya pernah menghiris hatimu,
Restumu yang amatlah aku harapkan,
Kerana disitu letak syurgaku.
Tabahnya melayani kenakalan anakmu,
Mengajarku erti kesabaran,
Kau bagai pelita di kala aku kegelapan,
Menyuluh jalan kehidupan.
Kasihanilah Tuhan ibu yang telah melahirkan diriku,
Bagaikan kasih ibu sewaktu kecilku,
Moga bahagia ibu di dunia dan di akhirat sana.
Kasih sayangmu sungguh bernilai,
Itulah harta yang engkau berikan,
Ibu... dengarlah rintih hatiku untukmu ibu.
Teringat coretan lagu nyanyian Aeman. Hatiku tersentuh, syukur 'alhamdulillah' aku mampu menghadapi ujian ini hasil dorongan dari sahabat seusrah, naqibah-naqibah dan Cikgu Maimunah. Namun aku buntu.
" Siapa yang akan menyara kami? Adik-adikku bagaimana? "
Pelbagai persoalan, namun setiap perkara ada hikmahnya. Aku dapat melihat 'ukhuwah islamiyah' apabila kami menerima bantuan biasiswa dan sedikit bantuan bagi keperluan hidup kami adik-beradik. Ayahku masih lagi tiada khabar berita darinya.
***
" Lihatlah ibu, aku di sini. Kata-kata terakhirmu menjadi semangat buat diriku. Aku kini 'engineer' di sebuah syarikat swasta. Amin dan Ramlah, anak-anakmu masing-masing menjadi doktor dan guru. Tidak sia-sia ibu, engkau membesarkan kami. Aku juga berbakti kepada ummah dengan menjadi penceramah dan meneladani mereka melalui hidupku. Jazakillahu khaira kathira ibu. "
Air mata syahdu membasahi pipiku di kaki Gunung Fuji sambil melihat Bunga Sakura kembang mekar.
" Anakku, andainya hari ini aku pergi, engkau jagalah amanahku iaitu adik-adikmu. Engkau jadilah insan yang berguna mampu memberi sumbangan kepada seluruh manusia. Aku tahu dan aku berbangga akan perubahanmu. 'Alhamdulillah' , Allah menyayangimu. Maafkanlah ibu sekiranya tersalah mendidikmu dan ibu memaafkan segala yang berlaku sepanjang hayat ini. Ilmu ini hanyalah harta pusaka ibu kepadamu. Tidak mampu ibu memberikan kemewahan kepadamu. "
" Sesungguhnya Allah itu Maha Adil lagi Maha Mengetahui walau sebesar zarah usaha kita, walau sebesar zarah dosa yang dilakukan. Setiap makhluknya akan kembali jua kepadanya kerana milikNya lah kerajaan langit dan bumi dan segala urusan akan dikembalikan kepadaNya. Sesungguhnya tidak akan sempurna iman kamu jika tidak menyayangi saudaramu sepertimana kamu menyayangi dirimu sendiri. "
Tuesday, June 15, 2010
Luahan Jiwa Seorang Hamba...

Ya Allah,
berilah ku kekuatan untuk menempuhi dugaanMu,
andai Kau tiada lagi disisiku sebagai tempat ku berteduh,
izinkan aku berlalu pergi dr berteduh di rimbunan pokok alpa ni,
andai masih punya sangsi dalam diriku,
singkirlah ia buat selama-lamanya...
Ya Allah,
izinkan hari ni berlalu tanpa ada sempadan waktu,
biarlah air mata menjadi teman akrabku buat hari ni,
izinkan aku berlabuh di tirai muka di hari esok..
andai KAU izinkan...
ya Allah,
aku pasrah atas ketentuanMu,
aku yakin hakikat perjuangan ni perlu ada pertemuan dan perpisahan,
aku yakin kehidupan ni mengajar aku erti persahabatan mulia,
aku yakin pengembaraanku akan berakhir disini,
bersama nokhtah ini berakhir,
maka berakhir la segalanya utkku,
moga Akhi Imtiaz bersama memberi "seni" dalam hdpku,
agar bisa aku tabah seperti hari-hari sebelumni..
Ya Allah,
kekalkan ukhwah suci ini di lembaran tabir hidupku..
aku hanya hambaMU yg hina...
ku sujud hanya pdMu Tuhan Yang Esa
padaMu ku berikan sekeping hati ni...
moga ianya x ternoda lagi...
Maafkan diriku wahai Tuhanku...
~HambaMu yang HINA~
Tuesday, May 25, 2010
DEADLINE BUAT KITA
Dialog Harian,
Encik A: iskh..sibuk betul la skrg ni, banyak betul DEADLINE nak kejar, tak kejar jadinya...
Encik B: ye la, bila la nak rileks nih...
Sibuk, kerja banyak, tak sempat siapkan tugasan...deadline, deadline, deadline...... Itulah luahan yang biasa didengar, bukan sahaja di kalangan pelajar, tapi juga di kalangan pekerja.
Sebelum lebih lanjut berbicara, suka saya mengajak sahabat-sahabat semua memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kerana masih berpeluang untuk hidup pada hari ini. Allah masih menyambung talian hayat kita, sedar tak sedar umur kita bertambah dengan pertambahan hari. Saban hari kita mengejar deadline yang ditetapkan di dunia ini. Siapkan tugasan sekolah, universiti, projek di tempat kerja, dan pelbagai lagi.
Hari ini saya ingin berkongsi tentang deadline yang sedikit berbeza dari deadline yang biasanya kita fahami, iaitu deadline yang pasti tapi kita tidak mengetahui bila tarikhnya. Pelik bukan? Ada deadline tapi tiada tarikhnya. Sebenarnya tarikh itu diketahui, tapi hanya oleh pencipta kita, Allah. Deadline yang saya maksudkan di sini ialah KEMATIAN.

Ya, kematian yang sering menghambat kita saban hari. Namun, akibat kita tidak tahu tarikhnya, kita tidak selalu mengikuti deadline atau menunggu tarikh "menghantarnya".
Firman Allah dalam Surah An-Nisaa' (4:78):
di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada Dalam benteng-benteng Yang tinggi lagi kukuh. dan kalau mereka beroleh kebaikan (kemewahan hidup), mereka berkata: "Ini adalah dari sisi Allah", dan kalau pula mereka ditimpa bencana, mereka berkata:" ini adalah dari (sesuatu nahas) Yang ada padamu". Katakanlah (Wahai Muhammad): "Semuanya itu (kebaikan dan bencana) adalah (berpunca) dari sisi Allah". maka apakah Yang menyebabkan kaum itu hampir-hampir tidak memahami perkataan (nasihat dan pengajaran)?
Sahabat-sahabat sekalian,
Saya ingin bertanya kepada anda:
1) Adakah kita sering mengingati deadline yang paling akhir ini?
2) Sedarkah kita selepas deadline ini, terputus segala deadline yang lain di dunia ini?
3) Bagaimana persediaan kita menghadapi deadline yang terakhir ini?
Saya juga kadang-kala terlupa dengan deadline ini, dengan segala nikmat di dunia, kita terleka, terbawa dengan keseronokan sementara. Tetapi apabila difikirkan, bila kita mengingatinya kita akan dianjak ke hadapan. Bagaimana? Dengan "zikrul maut", iaitu mengingati mati. Jadi, apakah kepentingan mengingati mati?
1) Mengingati dapat menghidupkan hati kerana kita sering sedar kekurangan dan kelemahan diri, lantas sentiasa berusaha untuk menambah amal.
2) Orang yang paling cerdik adalah orang yang mengingati mati dan bersiap untuk menghadapinya. Niat bagi setiap amalannya sentiasa diluruskan hanya kepada Allah.
3) Melahirkan perasaan berhati-hati. Ibaratnya sebelum kita keluar rumah kita akan memastikan kita telah mengunci rumah sebagai langkah berhati-hati dan mengelakkan kecurian. Begitulah juga kita berhati-hati dalam setiap perbuatan kita.
Jika urusan dunia kita meletakkan perhatian sepenuhnya terhadap tindak tanduk kita, apa lagi urusan akhirat yang akan menentukan nasib kita akhirnya nanti. Kita hanya ada dua pilihan; syurga atau neraka. Tiada pilihan di pertengahan, tiada talian hayat.
Oleh itu, sahabat-sahabatku, kejarlah deadline di dunia ini, tapi jangan dilupakan deadline Allah yang sangat pasti. Peganglah dunia di tanganmu dan peganglah akhirat di hatimu. Bila berjauhan dari dunia, hati tidak terasa sempit kerana adanya akhirat yang lebih dekat dengan diri. Walaupun kita tidak mengetahui tarikhnya, yakinlah kematian itu sentiasa menjemput tanpa mengira persiapan kita.
Saya mengingatkan diri saya dan sahabat-sahabat untuk sama-sama mengkoreksi diri dan memperbanyak taubat, dalam apa jua keadaan. Jadilah seperti orang yang bertaqwa yang dinyatakan dalam firmanNYA.
firman-Nya (Surah Qaf (50:33):
"(Iaitu) orang Yang takut (melanggar perintah Allah) Yang Maha Pemurah, semasa tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Allah, serta ia datang (kepada Allah) Dengan hati Yang tunduk taat".
Sebelum berakhir, saya ingin berkongsi doa yang dinamakan sebagai penghulu istighfar. Mengambil isi dari buku doa, zikir dan munajat; sekiranya seseorang itu mengucapkan istighfar ini dengan yakin pada setiap pagi, lalu jika dia meninggal dunia, nescaya dia akan masuk syurga dan sekiranya dia mengucapkan dengan yakin pada setiap petang, nescaya dia akan masuk syurga (Riwayat An-Nasa'i).
Moga kita sama-sama dapat mengamalkannya sebagai taubat kita dalam setiap amalan yang telah kita lakukan. Jika perbuatan kita buruk moga Allah ampunkan kita, jika amalannya baik, moga Allah ikhlaskan niat kita dalam mengamalkannya.
Bersiap sedialah sahabatku..apabila Izrael datang memanggil, tiada apa yang dapat menghalang...
Monday, March 15, 2010
UMMAT ISLAM KINI - SATU PENGAMATAN

UMMAT ISLAM KINI - SATU PENGAMATAN
Ummat Islam mengikut taarif Allah S.W T adalah sebaik-baik ummat yang dilahirkan di antara ummat manusia kerana mereka sentiasa berjihad menegakkan Al-Maaruf dan di waktu yang sama juga mereka mencegah yang mungkar.
Mereka adalah contoh yang terbaik dan pilihan kerana mereka yakin akan wujudnya Allah S.W.T dan percaya sepenuhnya kepada janji-janji Allah, mereka beriman kepada Allah S.W.T dan iman itu ditunjukkan dengan taat dan takwa kepada Allah S.W.T pada setiap saat dalam kehidupan mereka, mahupun apabila mereka sesama mereka ataupun mereka keseorangan diri.
Mereka sedar bahawa belumlah betul-betul dinamai Iman jika belum mendorong orangnya untuk bekerja keras, menerus dengan kerja-kerja Islam (Amal Islami) dan menyampaikan ajaran-ajaran Islam kepada orang lain belum lagi merasai kemanisan dan menikmati cara hidup Islam.
Sesungguhnya tepatlah sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
“Iman itu bukanlah angan-angan dan bukan pula perhiasan tetapi Iman itu adalah sesuatu yang menetap di dalam hati dan dibenarkan dengan amalan.”
Itulah ummat yang terdahulu yang mendapat didikan Iman dari Madrasah Rasulullah S.A.W yang mana sumber didikan mereka hanya sanya Al-Quran, menilai Rabbani yang sentiasa mendidik dan membetuli mereka dan setiap aktiviti mereka di dalam kehidupan samada dalam bentuk fikiran, tindakan dan amalan.
Di sana masih ada perbezaan yang jauh antara ummat Islam kini dan jenerasi Al-Quran yang pertama dahulu yang mana di dalam jiwa mereka terdapat Iman yang bergelora, menyala, cermat dan waspada.
Sebaliknya Ummat Islam kini mereka mempunyai Iman yang bisu, mandul, tidur nyenyak dalam jiwa dan mereka tidak mematuhi hukum dan tuntutan Iman itu sendiri.
KEADAAN DAN MASALAH YANG SAMA
Sesungguhnya segala keadaan dan corak hidup yang ada di seluruh dunia Islam pada hari ini adalah sama saja. Keadaan Ummat Islam yang sebenarnya telah menyerah kalah kepada pemikiran-pemikiran dan cara hidup yang menggunakan akal fikiran sebagai inti wahyu Illahi. Tiada penafian dalam hal ini kerana masyarakat Islam telah begitu lama dijajah (tanah air dan fikiran) telah jauh dari hakikat hidup dari kacamata Islam. Perhambaan diri mereka tidak hanya sanya pada Allah S.W.T semata-mata sedangkan mereka mengucap dua kalimah Syahadah, mengerjakan sembahyang, berpuasa, mengeluarkan Zakat dan menunaikan Haji di Baitullah.
Apabila kita meninjau ke seluruh pelusuk alam ini, nescaya kita dapat melihat keadaan sebenar Ummat Islam pada hari ini. Ratusan ummat-ummat Islam tidak lagi digeruni oleh musuh-musuh mereka, malah ummat Islam dipermain-mainkan sesuka hati oleh angkatan Jahiliah yang diketuai oleh Syaitan, ummat Islam seolah-olah dibius, jiwa mereka rendah, peribadi mereka juga rendah serta natijah mereka juga dipandang rendah. Kemanakah hilangnya tradisi kegemilangan, kekuatan Islam yang pada satu ketika dulu tradisi telah dapat menarik penganut-penganut cara hidup yang bukan Islam kepada cara hidup Islam.
Wujudnya situasi yang sebegini rupa adalah kerana ummat Islam sendiri telah jahil akan tujuan sebenarnya Islam itu diturunkan kepada seluruh ummat manusia. Ummat Islam kini tidak tahu menghargai Pimpinan Illahi dan merasa rendah dikira apabila menyebut Islam. Ummat Islam pada hari ini tidak boleh lagi dipanggil sebagai ummat Islam, Islam itu tetap ada tetapi ummatnya adalah umpama jasad tanpa nyawa, sebenarnya mereka juga sendiri daripada angkatan jahiliah kerana:
1) Tidak beriman sebenarnya dengan Allah S.W.T
Nampak jahiliah itu dalam bermacam-macam keadaan, tindakan dan aktiviti. Mereka tidak menyerah semua urusan hidup mereka kepada Allah S.W.T. Iman yang sebenarnya ialah dengan menjadikan hanya Allah sahaja sebagai Illah. Perintah dan undang-undang Allah sahaja yang diterima dan dipatuh. Jika tidak, maka uluhiyyatillah kita masih tidak sempurna.
2) Mengikut Hawa Nafsu
Jahiliah dengan hawa nafsu adalah seiringan.
Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Jaatsiyah (45) ayat 18 yang bermaksud:
“Kemudian kami jadikan kamu berada di atas Syariat (peraturan) dari urusan (Deen) itu, maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui”
Sekiranya hawa nafsu menghukum walaupun pengikut syariat Allah S.W.T maka masih dikira jahiliah. Hakikat hawa nafsu menghukum ialah ianya berbeza mengikut keadaan dan masa.
3) Mengikut Thaghut
Firman Allah dalam surah Al- Baqarah ayat 257 yang bermaksud:
“Allah pelindung bagi orang-orang yang beriman,Dia mengeluarkan mereka dari kegelapan (kekafiran) kepada cahaya (Iman) .Dan orang-orang kafir pelindung-pelindung mereka ialah thaghut,yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan.Mereka itu adalah penghuni neraka,mereka kekal di dalamnya”
Dalam surah Annisa’ (4) ayat 76 Allah S.W.T berfirman yang bermaksud:
“Orang -orang yang beriman berperang di jalan Allah dan Orang yang kafir berperang di jalan thaghut, sebab itu perangilah kuncu-kuncu syaitan itu kerana sesungguhnya tipu daya syaitan itu adalah lemah.”
Orang-orang yang beriman kepada Allah berjuang dan berperang kerana Allah S.W.T, tetapi orang-orang Jahiliah berjuang bermati-matian untuk mengikut perintah thaghut.
SIFAT-SIFAT MEREKA YANG HIDUP UNTUK ISLAM
Berbeza dengan sifat-sifat yang tersebut di atas,sifat-sifat mereka yang hidup untuk Islam sepatutnya:
a) Benar-benar terikat dan menurut ajaran Islam, Iman dan amal mereka yang selaras, tidak menyuruh orang berbuat baik tanpa dirinya sendiri berbuat baik dan tidak memperkatakan sesuatu yang tidak dilakukannya.
b) Mengutamakan kepentingan Islam walau di mana sahaja mereka berada. Musuh-musuh Islam tidak dapat meresap masuk dan mengganggu-gugat dengan apa cara sekalipun.
c) Merasa mulia dengan kebenaran Islam dan yakin kepada Allah. Tidak merasa lemah dan dukacita dengan mehnah dan fitnah yang berada di hadapan mereka.
d) sentiasa bekerja untuk Islam bersama-sama dengan Aktivis-aktivis (mujahid-mujahid) Islam yang lain dalam berdakwah kepada Allah, menyuruh dengan kebaikan dan mencegah kemungkaran. Mereka sentiasa bersama Jamaah Ummah dan patuh kepada kehendak dan pimpinan Jamaah tersebut.
SISTEM WAHYU
Sekiranya Iman merupakan penyelamat dan tenaga penggerak kepada pembangunan kepada generasi Al-Quran yang terdahulu maka Iman itu juga yang menjadi penyelamat dan tenaga penggerak kepada jenerasi ummat yang terkemudian. Dan generasi yang terdahulu telah mengambil Al-Quran untuk mencipta Tamadun..... generasi sekarang mesti mengambil Al-Quran untuk menempah semula tamadun tersebut.
Generasi Al-Quran yang pertama dahulu apabila mereka bertindak melakukan sesuatu, dalam apa sahaja bidang yang mereka ceburi mereka tidak pernah malah takut untuk mendahulukan Allah dan RasulNya. Mereka sentiasa menunggu saranan dan teguran wahyu.... dan apabila ditanzilkan wahyu kepada mereka tanpa persoalan lagi mereka terus melaksanakan kehendak wahyu tersebut samada dalam bentuk suruhan ataupun tegahan bagaikan askar-askar yang menurut perintah ketua mereka.
Oleh itu kita dalam setiap gerak kerja kita mestilah merujuk terlebih dahulu kepada Al-Quran dan Al-Sunnah dan bersesuaian dengan waki’ (realiti) serta ikhlas tanpa ada sedikitpun matlamat duniawi.
Sepatutnya sejarah Tanzil (turun) nya Al-Quran itu menjadi contoh kepada kita dewasa ini. Ia ditanzilkan secara munajjaman(beransur-ansur). Hal ini adalah mengikut fitrah manusia itu sendiri, kalau dulu Al-Quran itu mendidik dan berjinak-jinak dengan jiwa-jiwa generasi sahabat secara munajjaman iaitu mengikut perkembangan pemikiran dan sosial mereka, semestinyalah kita mengikutnya demikian juga. Dengan ini bukanlah bererti yang kita tidak perlu menjalankan undang-undang dan peraturan Allah di muka bumi ini disebabkan kita bermula dengan iman tetapi undang-undang Allah telah lengkap dan mesti dipatuhi sepenuhnya. Apa yang kita maksudkan dengan munajjaman di sini ialah khusus dalam pendidikan jiwa kita.
Mungkin ada sebahagian orang akan merasakan proses ini tidak perlu lagi pada zaman yang serba canggih ini, sedarilah dan insafilah bahawa untuk bersemadinya Iman di dalam hati kita dan dapat melahirkan natijah yang positif sangatlah perlu kita kembali kepada satu proses pendidikan semula setiap jiwa-jiwa muslimin yang ikhlas kepada Islam.
Kita tegaskan di sini, bahawa Islam bukan sekadar Risalah tetapi ianya juga merupakan Manhaj(cara), sunnah dan perjalanan Rasulullah S.A.W adalah sebaik-baik manhaj, sunnah itu adalah Haq dan Haq itu adalah daripada Allah Azza Wajjalla.
Proses pendidikan semula itu perlulah menurut satu persatu landasan yang telah dilalui oleh Muhamad Rasulullah S.A.W dan jenerasi sahabat dahulu. Matlamat hidup perlulah diperbetulkan semula, kesungguhan dan keikhlasan kepada proses itu sendiri perlulah ada pada setiap jiwa yang ingin mengikuti proses pendidikan semula Islam itu, jika tidak natijahnya akan bersimpang-siur.
MASA DEPAN DUNIA ADALAH UNTUK ISLAM
Di kalangan ummat Islam yang telah dibius itu telah ada yang sedar, bangun dan mengejutkan saudaranya yang lain. Seorang demi seorang bangun dan bersatu di bawah panji-panji Aqidah Islam. Seluruh dunia sekarang ini sedang menghadapi pergolakan yang dicetuskan oleh mujahid-mujahid ini. Bagi yang mahu kepada kebenaran mereka menyambut baik akan perkembangan ini, tetapi bagi mereka yang menyintai kekufuran, kezaliman, penyelewengan dan kemaksiatan, insiden ini amatlah tidak disenangi dan mereka cuba sedaya upaya mereka samada secara diplomasi atau kuku besi sekalipun untuk melenyapkan cahaya ini.
Kita bersikap optimis bahawa, masa depan dunia adalah untuk Islam memandangkan kepada keadaan masyarakat dewasa ini yang mana sistem-sistem pembikinan manusia yang dipaksakan kepada mereka jelas tidak mampu untuk menyelamatkan manusia dari segala bentuk bahaya dan kezaliman yang sedang berjalan walau atas nama apa sekalipun tetapi amat dibenci oleh masyarakat terbanyak.
Optimisnya kita bukanlah bererti kita boleh berpeluk tubuh, memerhatikan keadaan dan menunggu natijahnya tetapi ianya menuntut kepada usaha, tenaga, Ilmu, kedudukan, keikhlasan dari kita yang beriman kepada Allah dengan yang sebenarnya.
Oleh itu, perbetulkan Aqidah kita agar Iman kita betul, dengan itu nanti akan benarlah segala amalan kita, Insya-Allah.
PENUTUP
Menyedari bahawa Islam sudah tidak lagi dipraktikkan dalam kehidupan masyarakat kerana ketandusan Iman, berkepentingan peribadi serta jahil, maka program-program yang positif perlu diambil untuk membetulkan keadaan tersebut.
Abul A’la Al Maududi menyarankan supaya diajak manusia supaya kembali beriman kepada rukun-rukun Iman dengan sebenarnya, membersihkan diri dari segala bentuk kepercayaan tahyul, khurafat dan bid’ah dan membentuk serta membangunkan semula konsep kefahaman Islam yang sebenarnya di kalangan masyarakat.
Friday, February 19, 2010
Kasih Sayang Allah

Kasih Sayang Allah
Kita selalu beranggapan kasih sayang diantara manusia adalah sangat dalam. Menjadi lumrah kehidupan manusia untuk berkasih sayang dan bercinta. Tetapi ingatlah saudara seagamaku, walau sedalam mana kasih sayang kita kepada manusia dan makhluk yang lain. Ianya tidak dapat menandingi dengan kasih sayang Allah Kepada hambaNYa.
Hakikat sebenarnya, Allah sangat kasihkan hambaNya, cuma hambaNya yang tidak sedar.
Sebagai contoh:
" Jika apa yang kita doakan dikabulkan oleh Allah dengan cepat,
Allah sayangkan kita..
Jika apa yang kita doakan lambat dikabulkan,
bermaksud Allah ingin menguji kesabaran kita..
Jika apa yang kita doakan tidak dikabulkan,
janganlah hampa.
Ini bukan kerana Allah bencikan kita
tetapi Allah ingin berikan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang kita doakan.."
Allah tidak pernah mengecewakan kita kerana kasih sayang Allah mendahului dari kemurkaanNya. Janganlah sesekali kita buruk sangka terhadap Allah. Begitu hebat sekali kasih sayang Allah kepada hambaNya. Bagaimana pula kasih sayang hambaNya kepada Allah? Adakah kita layak untuk mempertikaikan kasih sayang Allah SWT kepada kita? Sama-sama lah kita renungkan dan fikir-fikirkan... m
Followers
blog hina islam.kita perlu cepat bertindak
Blog Hina Islam
Info Penting!!
Blog dibawah menghina Islam..
http://beritamuslim.wordpress.com
laporkan pada pihak wordpress dengan cara klik
http://en.wordpress.com/report-spam
Your Email : email anda
Blog URL : isi dengan
http://beritamuslim.wordpress.com
Why : isi dengan --> BLOG SPAMMING and that blog was insulting religion, abusing.
Semoga semakin ramai buat laporan, semakin cepat blognya ditutup.
Tolong sebarkan!!
Dan ini satu lagi blog kurang ajar...
http://islamexpose.blogspot.com
Dan ini,
www.indonesia.faithfreedom.org
Dan ini
http://www.answering-islam.org
Ini juga
http://www.secularislam.org
Dan lagi
http://www.faithfreedom.org
Semoga Allah Memberikan hidayah kepada mereka sebagaimana Allah memberikan hidayahNya kepada saidina Umar yang juga menentang Islam di Zaman jahiliahnya.
Atau Allah membalas segala usaha Jahat mereka.
Amin..